Wednesday, December 17, 2008

RENJIS 2 : STEVE YAP SEBAGAI HADHARI ABDULLAH



Dalam musim pertama, penonton mengetahui Kirana fobia hendak berkahwin. Puncanya kerana bekas tunang meninggalkannya dua hari sebelum pernikahan mereka. Waktu itu Kirana baru 23 tahun. Dan selama lima tahun, kejadian memalukan itu terus menghantuinya. Hinggakan dia menolak semua lamaran lelaki termasuk dari Dean dan Rafiq.

Kini, dalam musim kedua, penonton tertanya-tanya adakah lelaki itu akan muncul? Ya, dia lah punca segalanya. Mulai episod lapan minggu lalu, buat pertama kali penonton melihat wajahnya. Dia adalah HADHARI ABDULLAH, seorang Cina Muslim. Apa alasannya meninggalkan Kirana lima tahun dahulu? Dan adakah Kirana akan menerimanya semula di saat luka silam masih terasa? Saksikan episod seterusnya malam ini dan ketahui jawapannya.

Hadhari Abdullah atau nama singkatannya ARI dilakonkan oleh Steve Yap, seorang pelakon dan model. Wajah kacaknya sentiasa menghiasi iklan seperti NOKIA, AIA, Digi Mobile, Celcom, Dove Chocolate dan banyak lagi. Kerjayanya menyerlah di Malaysia, Singapura, Hong Kong. Drama kantonis tempatan yang dibintanginya termasuk Love Circle dan 5A Girls. Pelakon berusia 36 tahun ini turut membintangi filem kantonis berjudul The Possessed (Malaysia) dan The Last Dance (Singapura).

Thursday, October 30, 2008

RENJIS 2 :KAMAL ADLI SEBAGAI BUDI



BUDI - budak Gombak yang bekerja sebagai perancang bandar. Yakin dan cool. Agak nakal tetapi takutkan lipas dan mudah menangis. Cuba menjadi hero walaupun tidak begitu menjadi. Adakah dia berjaya meyakinkan Kirana agar jangan takut untuk melangkah ke pelamin? Saksikan musim ini hingga ke penghujungnya.

Watak Budi dibawakan oleh KAMAL ADLI, pengacara, model dan pelakon. Bakat baru ini berusia 23 tahun. Pernah menjadi duta produk SONY HANDYCAM selama setahun. Dan juara Pertandingan Hero Remaja 2008 anjuran Karangkraf Sdn Bhd. Setakat ini mengacara program "Pandanganku, Ceritaku" (Astro Ria) dan Rentak Juara, Rhytm of The Champions (RTM1). Turut membawakan watak Johan dalam drama Impian Sunsilk (TV3). Tahun depan, akan muncul sebagai superhero dalam drama BIO-NIK (TV3)

Monday, October 20, 2008

RENJIS 1 : SINOPSIS

Ia tentang Kirana yang cekap dan komited dalam menguruskan butik pengantin milik emaknya. Butik itu terletak di kawasan kelas rendah di bandaraya Kuala LUmpur. Ironi, dalam kesibukan menguruskan perkahwinan orang, Kirana sendiri masih membujang. Dia “fobia” untuk berkahwin akibat peristiwa hitam lima tahun lalu - bakal suami ‘menghilang’ dua hari sebelum pernikahannya!

Ibunya berusaha mencari calon suami untuknya tetapi Kirana sentiasa menolak. Kemudian, Kirana bertemu dua lelaki hebat yang pastinya tidak akan dilepaskan oleh mana-mana wanita pun. Kedua-duanya mencintai Kirana. Seperti yang dijangka, Kirana menolak mereka. Penolakannya itu sebenarnya dibuat tanpa sedar. Dia lebih dibayangi kenangan silam yang mengecewakan, memalukan dan menakutkan.


Justeru, drama ini berkisar tentang kehidupan Kirana bersama orang sekelilingnya. Ia tentang hubungan Kirana dengan ibu yang sentiasa mendesaknya kahwin, perniagaan butik yang terancam akibat kehadiran sebuah projek mega, adik lelaki yang tidak bertanggungjawab dan cinta dua lelaki paling hebat pernah ditemuinya.

Wednesday, October 15, 2008

RENJIS 2 MULAI 22 OKTOBER 2008

Drama bersiri Renjis telah bersiaran di Astro Ria (104) mulai 21 Mei hingga 13 Ogos yang lalu. Sambutan penonton membawa siri ini ke musim kedua mulai 22 Oktober (Rabu depan) jam 9.05 malam. Siaran ulangan pada Khamis berikutnya jam 5.00 petang.

Renjis 2 menyambung semula kisah percintaan Kirana yang 'terbengkalai' dalam musim lalu. Bagaimanapun, kerjaya Kirana sebagai perancang perkahwinan tetap berjalan seperti biasa. Begitu juga dengan tanggungjawabnya sebagai anak sulung dalam sebuah keluarga kecil yang 'kehilangan' ketua keluarga bergelar 'lelaki' sejak 10 tahun lalu. Dia turut berdepan dengan masalah sewa kedai melambung tinggi akibat projek mega oleh A&A Corporation Berhad yang digelarnya sebagai "perampas perniagaan kecil-kecilan".

Musim kedua mengekalkan lima pelakon asal iaitu Elyana sebagai Kirana, Liza Abdullah (Seri), Asraf Muslim (Kelana), Sherry Ibrahim (Karmila) dan Syed Ali (Rafiq). Muka baru untuk musim ini ialah Ahmad Kamal Ahmad Adli sebagai Budi dan Steve Yap sebagai Ari. Asraf Sinclair yang membawakan watak utama iaitu Dean atau nama sebenarnya Ungku Alauddin Ungku Alwi dalam musim lepas, kini akan muncul sebagai watak undangan.

Jangan lupa temu janji anda di Astro Ria setiap Rabu malam, ulangannya Khamis petang.